Sunday 28 October 2012

Tip-Tip Pengucapan Awam



Cuba bayangkan yang anda sedang berucap…
Assalamualaikum, ape khabar anda semua hari ini? semoga sihat sejahtera hendaknya. InsyaAllah hari ini saya akan berkongsi sedikit ilmu yang sata perolehi semalam melalui seminar pengucapan awam. Tak mudah untuk kita berucap dan menyakinkan pendengar dengan apa yang kita cakap. lihat sebagai contoh pabila ahli politik berbicara, nampak ucapan bersahaja namun penuh makna dan para pendengar akan khusyuk atau asyik mendengarnya. Pengucapan awam bukanlah satu bakat semulajadi yang tersedia ada dalam diri kita namun ianya perlu diasah dan digilap untuk menjadi seorang perucap yang berkesan. Berucap juga merupakan satu seni kerana pelbagai lenggok bahasa, intonasi ,bahas badan dan lain-lain kepakaran dioerlukan untuk menjadikan ucapan kita mudah untuk difahami dan didengari oleh para pendengar. Agak panjang nampaknya pengenlan kita untuk hari ini.. he3.. baiklah sekarang mari kita bergerak ke tip-tip untuk pengucapan awam yang baik, kesalahan dalam pengucapan awam, kaedah bahasa badan dan ape yang kita perlu waspada ketika berucap. 
TIP-TIPS PENTING:

  1. Ketahui tajuk atau sumber
  2. Praktis
  3. Kenali audiens
  4. Kenali lokasi
  5. Rileks
  6. Visualisasi dan imaginasi
  7. Motivasi diri
  8. Jangan mempamerkan kelemahan diri
  9. Fokus kepada mesej
  10. Timba pengalaman
Dan berikut pula adalah kesalahan yang biasanya dilakukan ketika anda berucap
  1. Permulaan yang hambar
  2. Tiada keaslian gaya
  3. gagal menghidupkan suasana
  4. Mempamerkan tekanan
  5. Tiada ketulinan idea
  6. Tiada semangat
  7. Mengakhiri ucapan dengan soalan atau jawapan
  8. Tiada persediaan
  9. Gagal memahami bahawa pengucapan awam adalah satu kemahiran
Penggunaan bahasa badan yang sesuai
Keadah Pergerakan Badan
  1. Kontak mata
  2. Senyum
  3. Gaya yang menyakinkan
  4. Ekspresi emosi melalui raut wajah
  5. hindari perbuatan yang menjengkelkan
  6. Pelbagaikan pergerakan
Waspada bila berucap
  1. Jangan hilang keyakinan
  2. Jaga maruah
  3. Jangan menyerah kepada keadaan
  4. Kreatif mencari altenatif
  5. Jangan mengungkit
  6. Cuba bergerak





Itulah serba sedikit ilmu yang saya perolehi semalam. Namun ianya cukup ringkas. untuk mengetahui lebih mendalam huraian setiap butiran bolehlah menanya saya diruangan komen dibawah.  Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada kita bersama. Terima kasih.

PANDUAN RINGKAS CARA-CARA MENGARANG PANTUN.

Saya terpanggil untuk membuat entri ini selepas membaca keratan akhbar di atas. Saya berasa amat bangga bila peserta-peserta dari luar negara menyelitkan pantun dalam pidato mereka.

Entri ini di buat berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya sahaja dan bukanlah tulisan yang ilmiah. Kalau ada kekurangan harap maafkan dan silalah beri komen yang membina. Saya juga sedar tidak ramai orang berminat untuk membacanya. Tak mengapalah.

Setiap pantun samada ia pantun dua kerat, empat kerat atau enam kerat, mesti ada pembayang dan maksud. Untuk lebih jelas, perhatikan contoh pantun berikut:

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Pantun tersebut adalah pantun empat kerat. Rangkap pertama dan kedua pantun tersebut iaitu "kalau ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi" adalah pembayang. Maksudnya pula adalah "kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi".

Pembayang adalah klu (clue) ke atas maksud yang ingin disampaikan. Sesuai dengan istilahnya, pendengar yang arif sudah boleh meneka maksud sesuatu pantun hanya dengan mendengar pembayangnya sahaja. Oleh hal yang demikian, pembayang yang baik haruslah boleh memberi bayangan kepada maksud yang ingin disampaikan, bukannya memberi gambaran yang salah.

Kalau maksud pantunnya sedih, pembayangnya pun harus sedih. Kalau maksudnya negatif, pembayangnya juga harus negatif, dan begitulah seterusnya. Lihat sahaja pembayang pantun di atas. "Kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi" memberi erti bahawa kita hanya boleh berjumpa kalau umur kita sama-sama panjang. Kalau dah meninggal, mana dapat berjumpa lagi.

Begitulah keadaannya dengan sumur (perigi). Kalau masih ada lagi sumur tersebut, maka bolehlah kita menumpang mandi. Kalau sumur tersebut sudah tidak ada lagi, maka tidak dapatlah kita hendak menumpang mandi lagi.

Alangkah cantiknya pembayang pantun tersebut yang dicipta oleh nenek moyang kita dahulu yang walaupun mungkin tidak bersekolah tinggi atau mungkin juga tidak bersekolah langsung, tetapi mempunyai ketajaman dan kebijaksanaan dalam menggubah pembayang yang begitu berseni, berkesan dan bermakna.

Cuba pula kita lihat pembayang yang saya arasa tak berapa cantik. Ia telah digubah oleh orang sekarang yang kalau tidak silap saya, pernah dinyanyikan oleh sebuah kumpulan nasyid sedikit masa dulu:

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walapun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.

Nampak tak maksud pantun dengan pembayangnya yang macam bertentangan. Pembayangnya membayangkan perkara yang elok-elok iaitu menceritakan tentang sepohon kayu yang mempunyai daun yang rimbun serta bunga dan buah yang lebat. Manakala maksudnya pula bertentangan iaitu mencela orang yang tidak sembahyang iaitu mereka yang mempunyai sifat yang tidak elok walaupun dikurniakan nikmat umur yang panjang.

Seterusnya saya akan bincangkan pantun dari aspek penyusunan rima pula. Berbanding dengan mencipta pembayang, menyusun rima adalah agak mudah sedikit.

Lihat contoh pantun yang mempunyai rima yang baik.


Rangkap 1. Pulau Pandan Jauh Ke Tengah
Rangkap 2. Gunung Daik Bercabang Tiga
Rangkap 3. Hancur Badan Di Kandung Tanah
Rangkap 4. Budi Yang Baik Di Pandang Juga.


Tumpukan kepada perkataan-perkataan yang diwarnakan.


Perkataan berwarna di rangkap 1 sama bunyinya dengan perkataan berwarna di rangkap 3. Pandan dengan Badan, Tengah dengan Tanah. Begitu juga warna merah di rangkap 2 dengan rankap 4, Daik denga Baik dan Tiga dengan Juga.

Lihat pula contoh rima yang tak cantik.

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walapun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.


Bukankah jauh lari bunyi perkataan kayu dengan hidup dan bunganya dengansembahyang !

Begitulah sedikit sebanyak apa yang saya tahu mengenainya menggubah pantun.


Saturday 13 October 2012

CONTOH KARANGAN BERFORMAT


CONTOHKARANGAN BERFORMAT

Laporan Pertandingan Pidato

Persatuan Bahasa Melayu sekolah ini telah menganjurkan pertandingan pidato. Pertandingan ini diadakan pada 6 April 2010 di dewan sekolah. Pertandingan yang bermula pada pukul 9.00 pagi.

Pertandingan pidato ini diadakan bertujuan memilih wakil sekolah untuk menyertai pertandingan pidato di peringkat daerah. Selain ini, pertandingan ini akan memberi peluang murid-murid menonjolkan bakat masing-masing dalam pidato.

Pertandingan ini terbuka kepada murid-murid tahap dua. Pada peringkat awal sebanyak 30 orang murid telah menyampaikan pidato masing-masing. Lapan orang murid sahaja yang dipilih untuk pertandingan akhir.

Hakim pertandingan akhir terdiri daripada beberapa orang guru iaitu Cikgu Aminuddin Sarmiran, beliau telah menghakimi bahagian isi, Cikgu Anuar Ahmad telah menghakimi bahagian penyampaian, dan Cikgu Bangidin Bedu pula telah menghakimi bahagian bahasa. Dua orang murid telah ditugaskan menjaga masa.-

Johan pertandingan ini ialah Amira binti Amir, Tahun 6 Bestari. Naib johan Amrizan bin Zaman dari Tahun 6 Jujur, dan tempat ketiga pula ialah Azmi bin Mohamad dari Tahun 5 Amanah. Amira binti Amir akan mewakili sekolah dalam pertandingan pidato peringkat daerah.

Pertandingan pada tahun ini telah mendapat sambutan yang hebat berdasarkan penyertaan murid, berbanding tahun lalu. Selain itu, murid-murid telah menunjukkan minat yang mendalam apabila dewan sekolah telah penuh sesak dengan kehadiran mereka untuk menyeksikan pertandingan tersebut.


Disediakan oleh, 12 APRIL 2010

…………………

(JASMIN BINTI JASMAN)
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
Sepang, Selangor.


Contoh Karangan Syarahan

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Sikap berusaha dan berdikari perlu bagi seseorang pelajar.’
Hadirin sekelian,
Berusaha bermaksud melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.Berdikari pula bermaksud , berusaha tanpa megharapkan bantuan orang lain. Sikap berusaha dan berdikari akan membawa kejayaan dan akan dihormati oleh masyarakat.
Seseorang pelajar perlu menanamkan sikap berusaha dan berdikari. Mereka tidak boleh semata-mata mengharapkan ajaran guru sahaja . Mereka perlu rajin, berusaha dan berdikari untuk berjaya dengan cemerlang.
Hadirin sekelian,
Masyarakat yang kuat berusaha dan berdikari adalah masyarakat maju. Sebagai contoh negara Jepun, usaha gigih dan berdikara rakyatnya telah meletakan Jepun sebagai kuasa ekonomi dunia pada hari ini.
Oleh itu , kita janganlah mengharapkan yang pipih datang melayang dan yang bulat datang bergolek , jika ingin merangkul kecemerlangan kita mesti kuat berusaha. Negara pula tidak akan maju selagi rakyatnya hanya mengharapkan subsidi daripada kerajaan dan tidak mampu berdikari . Saya akhiri syarahan ini dengan serangkap pantun;
Hidangan tersaji hendaklah dijamah ,
Jangan terlupa membasuh tangan ;
Mengharap bantuan , tandanya lemah ,
Berusaha berdikar kunci kegemilangan .
Sekian , terima kasih .




Contoh Karangan Ucapan


Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar, yang diraikan Cikgu Nor Ekhsan, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan dalam majlis ini.

Seperti yang kita sedia maklum, hari ini merupakan hari terakhir bagi Cikgu Nor Ekhsan di sekolah ini. Cikgu Nor Ekhsan telah menerima segulung ijazah setelah menamatkan Pengajian Jarak Jauh di Universiti Putra Malaysia dan akan bertukar ke sekolah menengah. Saya mewakili rakan-rakan mengucapkan tahniah dan selamat berpisah kepada cikgu.

Hadirin sekalian,

Sepanjang tempoh tujuh tahun cikgu di sekolah ini, banyak ilmu dan pengalaman dicurahkan kepada kami, lebih-lebih lagi cikgu merupakan seorang guru yang serba boleh. Dengan usaha cikgu yang tidak mengenal jemu telah membuahkan kecemerlangan dalam UPSR pada setiap tahun.

Saya bagi pihak rakan-rakan mengambil peluang ini untuk merakamkan jutaan terima kasih atas pengorbanan cikgu membantu kami meningkatakan kecemerlangan dalam bidang kurikulum dan kokurikum. Sesungguhnya segala nasihat dan tunjuk ajar cikgu akan sentiasa tersemat di hati kami.

Hadirin sekalian,

Pada kesempatan ini juga, kami melahirkan rasa bangga atas kejayaan cikgu. Semoga kejayaan tersebut akan mendorong kami berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai kecemerlangan bagi diri kami.

Akhir sekali, saya bagi pihak rakan-rakan mengucapkan selamat berpisah dan selamat berjaya kepada Cikgu Nor Ekhsan dan doa kami semoga cikgu akan terus berjaya dan bahagia selalau di samping keluarga tersayang.

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah saya menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah kita berjumpa lagi.


Contoh Karangan Surat Rasmi

Persatuan Tunas Kadet Remaja,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
43950 Sungai Pelik, Sepang,
Selangor Darul Ehsan.


Tuan Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
43950 Sungai Pelik, Sepang,
Selangor Darul Ehsan. 05 MAC 2010

Tuan,

Memohon Mengadakan Perkhemahan Tahunan

Sukacita dimaklumkan perkara di atas adalah dirujuki.

2. Ahli Jawatankuasa Persatuan Kadet Remaja sekolah akan mengadakan aktiviti perkhemahan tahunan. Perhemahan ini akan diadakan pada cuti pertengahan penggal yang akan datang selama tiga hari, dua malam iaitu pada 28 Mei hingga 30 Mei 2010

3. Kami bercadang untuk mengadakan perkhemahan ini di Hutan Reakriasi Ulu Bendul, Negeri Sembilan. Tempat ini dipilih kerana mempunyai persekitaran yang mencabar kepada para ahli .

4. Tujuan perkhemahan ini diadakan adalah sebagai aktiviti tahunan pertubuhan ini. Selain itu, perkhemahan ini diadakan untuk memberikan pengalaman di samping dapat memupuk nilai-nilai murni di kalangan murid seperti berdisiplin, bekerjasama dan sebagainya.

5. Sebanyak 30 orang ahli akan menyertai perkhemahan ini. Mereka terdiri daripada murid tahun empat hingga tahun enam. Selain itu, empat orang guru penasihat akan turut serta dalam perkhemahan ini.

Besarlah harapan kami agar permohonan ini dapat dipertimbangkan. Kerjasama daripada pihak tuan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,

Darsan Aliman
…………………………………
(DARSAN BIN ALIMAN)
Setiausaha Persatuan Tunas Kadet Remaja
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
43950 Sungai Pelik, Sepang,
Selangor Darul Ehsan.


Baca contoh berita .

PROGRAM MAJU DIRI

SEPANG, Ahad – Sebanyak 100 orang murid telah mengikuti Program Maju Diri yang dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru , Sekolah Kebangsaan Bagan Lalang. Kursus yang pertama kali diadakan ini mendapat sambutan yang menggalakkan.

Menurut Guru Besar sekolah tersebut Encik Bangidin bin Bedu, tujuan program ini diadakan adalah untuk mendedahkan murid-murid dengan pelbagai cara belajar di samping memberikan ketahanan fizikal dan mental .

Program ini diadakan di pantai peranginan Bagan Lalang selama tiga hari iaitu pada 26 Mei 2010 hingga 28 Mei 2010 . Peserta-peserta program terdiri daripada murid-murid tahun lima sebagai persediaan menghadapai UPSR 2010.

“Saya berasa sangat gembira mengikuti program ini kerana program ini telah memberikan saya banyak pendedahan cara belajar yang berkesan daripada para penceramah yang berpengalaman,” kata adik Alia Mohamad salah seorang peserta program ini.

“ Kebanyakan ibu menyatakan rasa gembira dan berterima kasih kepada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru kerana membuat persiapan awal kepada murid-murid tahun lima untuk menghadapai UPSR 2010,” kata Encik Sailan Misran yang ditemui pada hari penutup program.

Program ini di akhiri dengan upacara penyampaian sijil penyertaan oleh Yang Dipertua PIBG , Dr. Jaluddin Buang . Beliau menyeru para ibu bapa memberikan sokongan padu untuk program-program yang dijangka akan diadakan secara berterusan.

LATIHAN MENULIS KARANGAN


LATIHAN 1

Kamu telah terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan yang bertajuk "Perlunya kita menjaga alam sekitar". Tulis teks syarahan kamu selengkapnya.
Pendahuluan
persekitaran yang bersih - rakyat sihat
Isi
1 meningkatkan kesedaran - kempen menanam pokok-pokok
2 cintakan keindahan alam sekitar - hidupan flora dan fauna
3 menjaga hutan, udara bersih, sumber airhidupan liar
4 Negara indah, menarik pelancong berkunjung
Penutup
Tanggungjawab semua rakyat - aman damai, sihat sejahtera.

LATIHAN 2
Pada waktu rehat, kamu dan kawan kamu berbual-bual tentang,"Faedah mempelajari seni mempertahankan diri".Tulis perbualan kamu itu selengkapnya.
Pendahuluan
kemahiran mempertahankan diri dapat menjaga diri
Isi
1 menyihatkan badan, meningkatkan kecergasan
2 membentuk disiplin,patuh arahan, mewujudkan pemikiran positif
3 kegiatan masa lapang, mengelakkan daripada gejala negatif
4 mempertahankan diri, membantu orang yang dianiaya
Penutup
kepelbagaian seni mempertahankan diri, daya tarikan pelancong


LATIHAN 3

Tulis sebuah karangan bertajuk "Faedah bergotong royong."
Pendahuluan
melakukan kerja secara beramai-ramai
Isi
1 dapat menjimatkan masa dan tenaga
2 sesuatu kerja besar dan sukar menjadi ringan
3 memperkukuh ikatan perpaduan di kalangan anggota masyarakat
4 mewujudkan suasana harmoni dan saling hormat-menghormati
Penutup
amalan yang perlu diteruskan, di kampung atau di bandar

UJI LIMA

Jawab semua soalan di bawah;

1 Kamu akan mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan yang kamu ialah ‘Sayangilah Alam Sekitar’. Tuliskansyarahan kamu itu selengkapnya.

2 Persatuan atau kelab yang kamu sertai bercadang untuk mengadakan satu ekspedisi. Sebagai setiausaha, kamu diminta menulis sepucuk surat kepada Guru Besar sekolah kamu untuk meminta kebenaran berhubung perkara tersebut.

Tuliskan surat itu selengkapnya.
3 Aku dan beberapa orang rakan sedang membersihkan tapak untuk mendirikan khemah. Tiba-tiba salah seorang rakanku….
Sambung cerita di atas selengkapnya.

Contoh Jawapan Soalan 1

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Sayangilah Alam Sekitar .’

Alam sekitar yang bersih dan indah perlu dipelihara untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan setiap insan menyayanginya?
Hadirin sekalian.
Aktiviti yang boleh menjejaskan flora dan fauna hendaklah dikawal. Hal ini demikian kerana jika tidak dikawal, akan mengakibatkan berlakunya bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya.
Selain itu, kita juga hendaklah memastikan kebersihan alam sekita tidakdicemari oleh unsur-unsur yang boleh membawa kemusnahan seperti sisa-sisa toksik, sampah sarap, dan tumpahan minyak.
Penguatkuasaan undang-undang perlu dijalankan dengan lebih keras. Denda dan hukuman yang berat perlu dikenakan kepada individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti yang boleh mencemarkan dan memusnahkan keindahan alam.
Hadirin sekalian,
Marilah kita bersama-sama memikul tanggungjawab bagi menentukan dunia yang kita diami ini terus terpelihara, bersih, dan indah. Jika anda sayang diri anda, ‘sayangilah alam sekitar!’.
Contoh Jawapan soalan 2
Setiausaha Kelab Rekriasi,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra
43950 Sungai Pelek,
Sepang,
Selangor Darul Ehsan.

Tuan Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra
43950 Sungai Pelek,
Sepang,
Selangor Darul Ehsan. 05 MEI 2011
Tuan,
Kebenaran Mengadakan Ekspedisi Berbasikal ke Bagan Lalang
Sukacita dimaklumkan perkara di atas adalah dirujuki.
2 Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kelab Rekriasi pada 01 April 2011,telah bersetuju untuk mengadakan ekspedisi ke pantai peranginan tersebut.
3 Tujuan ekspedisi ini adalah untuk membina ketahanan diri pelajar. Selain itu, ekspedisi ini juga diharapkan dapat mendedahkan pelajarmengenali satu-satunya pantai peranginan di daerah ini, di samping memupuk semangat kerjasama di kalangan para peserta.
4 Jika tiada apa-apa halangan, ekspedisi ini akan disertai oleh 40 orang pelajar dan empat orang guru. Mengikut perancangan, ekspedisi ini akan diadakan pada 24 dan 25 Mei 2011.
5 Oleh itu, besarlah harapan kami agar pihak tuan dapat menimbangkan permohonan ini. Dengan kebenaran dan sokongan daripada pihak tuan diharap dapat menambah pengalaman dan pengetahuan para peserta yang tidak boleh didapati di sekolah.
6 Akhir kata, saya bagi pihak Kelab Rekriasi mengucapkan terima kasihatas segala pertimbangan dan perhatian yang tuan berikan.
Sekian, terima kasih.
Yang menjalankan tugas,
Nordin Sulung
(NORDIN BIN SULUNG)
Setiausaha Kelab Rekriasi,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra
43950 Sungai Pelek,
Sepang,
Selangor Darul Ehsan.
Contoh jawapan soalan 3
Aku dan beberapa orang rakan sedang membersihkan tapak untuk mendirikan khemah. Tiba-tiba salah seorang rakanku menjerit, “Mastura pengsan!”….
Aku dan Jamiah tergamam seketika. Kami meghampiri Mastura. Muka Mastura kelihatan pucat dan tidak bermaya. Kami segera memapah Mastura dan membawanya ke bawah pokok. Aku menyuruh Jamiah mengambil kotak ubat yang kami bawa.
Aku pasti Mastura pengsan kerana keletihan. Aku membuka butang bajunya, sambil mengipas-ngipaskannya. Jamiah mengeluarkan minyak angin lalu menyapukannya di bahagian kepala dan lehernya. Lima minit berlalu, namun Mastura masih belum sedar.
Aku dan Jamiah segera melaporkan hal tersebut kepada Cikgu Zaki yang berada di khemah utama. Cikgu Zaki mengambil keputusan untuk membawa Mastura ke hospital.
Sampai di hospital , aku memberitahu doktor mengenai kejadian yang menimpa Mastura. Mastura telah dibawa ke unit rawatan rapi. Aku berdoa semoga Mastura akan selamat.
Sepuluh minit kemudian, doktor yang merawat Mastura menepuk-nepukbahuku sambil menyatakan bahawa Mastura pengsan kerana masalah pernafasan. Mujurlah dia mendapat pertolongan segera. Aku bersyukur kerana Mastura selamat.

UJI EMPAT


Arahan Am: Tiap-tiap soalan diikuti oleh empat pilihan jawapan, iaitu A,B,C,dan D.
Antaranya ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan yang betul itu.
Soalan 1 hingga Soalan 5
Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
Kayu rengas ialah sejenis kayu yang keras dan sederhana berat. Dari segi nama botani, rengas ada banyak spesies. Perkataan ‘rengas’ merujuk kepada pokok-pokok lain yang mengandungi getah beracun.
Pokok rengas mempunyai taburan yang banyak di dalam hutan tetapi kayu balak rengas tidak banyak terdapat di dalam hutan. Hal ini kerana banyak pokok kecil telah dicantas oleh manusia yang ingin memusnahkan pokok beracun ini.
Kayu rengas adalah antara yang terkenal sekali sebagai kayu balak yang beracun di Asia Tenggara. Getah rengas yang terkena pada kulit boleh mengakibatkan lecur yang sangat teruk. Manakala asap yang terhasil daripada pembakaran mana-mana bahagian pokok ini juga boleh mengakibatkan melecur yang teruk dan masalah pernafasan yang serius.Selain itu, orang yang berteduh di bawah pokok rengas semasa hujan lebat juga mungkin akan menghadapi masalah kulit.
Getah rengas mengandungi asid dan mungkin juga beberapa sebatian kimia yang lain. Sekiranya getah ini terkena pada salah satu anggota tubuh, getah ini akan menyebabkan masalah pada kulit, sistem pernafasan, dan bahagian tisu badan yang lain. Racun pokok rengas boleh memberi kesan yang buruk kepada hampir setiap orang yang terdedah kepadanya.
Walaupun pokok rengas ialah sejenis pokok yang beracun, namun pokok ini juga digelar pokok multiguna. Kayu rengas sangat cantik dan berwarna merah berjalur-jalur. Kayu ini juga digunakan untuk membuat perabot yang berkualiti tinggi. Selain itu, kayu rengas juga sesuai untuk tujuan kegunaan kasar dan tahan lasak seperti membuat tiang rumah, jambatan, perahu, dan lain-lain.Getah rengas yang dikumpul boleh digunakan untuk membuat arnish dan laker. Biji rengas yang dipanggang juga sedap dimakan manakala daun pokok rengas yang muda dibuat ulam. Pendek kata, pokok rengas mempunyai pelbagai kegunaannya.
  1. Mengapakah banyak pokok kecil rengas telah dicantas?
    1. Kerana ingin memusnahkan pokok yang beracun ini.
    2. Kerana pokok ini tumbuh meliar.
    3. Kerana pokok ini sangat berbahaya
    4. Kerana pokok ini tiada kegunaannya
2. Apakah akibatnya jika terkena getah rengas pada kulit?
A. Kulit akan menjadi lebih keras
B. Kulit akan melecur dengan teruk
C. Kulit tidak boleh terdedah kepada sinaran matahari
D. Kulit akan mengelupas
3. Pernyataan berikut adalah benar berdasarkan petikan, kecuali
A kayu rengas sangat cantik dan berwarna merah berjalur-jalur.
B. kayu rengas juga boleh dibuat perabot yang berkualiti tinggi.
C. pokok rengas mempunyai dua kegunaan sahaja.
D. getah rengas yang dikumpul boleh dibuat arnish dan laker .
4. Apakah kegunaan getah rengas yang dikumpul?
A. Untuk membuat tiang rumah dan jambatan
B. Untuk membuat varnis dan laker
C. Untuk membuat varnis dan landai kereta api
D. Untuk membuat perahu dan laker
5. Perkataan multiguna dalam petikan bermaksud
A. pelbagai guna
B. diguna ramai
C. pelbagai jenis
D. pelbagai cara
Soalan 6 hingga Soalan 10.
Baca dialog di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
Abang: Wah, lekanya kamu membaca! Ada apa-apa berita yang menarik?
Johari: Sebenarnya saya sedang membaca berita tentang kejohanan golf yang akan berlangsung tidak lama lagi. Saya berasa bangga kerana Malaysia dipilih sebagai penganjur kejohanan golf yang bertaraf antarabangsa.
Abang: Jika Johari ingin tahu, dahulu golf merupakan sukan untuk golongan atasan saja.
Kini golf menjadi permainan kegemaran semua lapisan masyarakat.Oleh sebab itu, tidak menghairankan mengapa banyak padang golf dibina di negara kita sekarang.
Johari: Setahu saya, padang golf dibina di kawasan tadahan hujan, kawasan bukit, dan kawasan yang berhampiran dengan empangan. Sebagai akibatnya, berlakulah hakisan tanah dan pencemaran alam. Kesan yang paling buruk ialah tanah ini akan terhakis dan dihanyutkan ke kawasan takungan air atau laut. Hal ini akan menyebabkan hidupan laut dan terumbu karang mati.
Abang: Betul tu, Johari. Kawasan hutan ini akan dibersihkan untuk membina padang golf. Selain itu, baja kimia dan racun rumput turut digunakan untuk mengelakkan rumput tumbuh.
Johari: Jadi, apakah langkah yang patut dilakukan oleh pihak pemaju padang golf untuk mengelakkan berlakunya hakisan tanah?
Abang: Pada pendapat abang, langkah yang patut dilakukan ialah pembinaan golf itu mestilah
bersifat mesra alam.
Johari: Mesra alam? Maksud abang?
Abang: Mesra alam ialah mengekalkan bentuk muka bumi. Contohnya, di kawasan padang golf itu hendaklah ditanami pokok supaya hakisan tanah dapat dielakkan.
  1. Apakah yang menyebabkan Johari berasa bangga?
    1. dia dapat bermain golf dengan abangnya.
    2. Malaysia dipilih sebagai penganjur kejohanan golf.
    3. Kejohanan golf akan berlangsung tidak lama lagi.
    4. Banyak padang golf dibina di Malaysia.
7. Perbezaan antara sukan golf dahulu dengan sukan golf sekarang ialah ………..
A. Permainan ini tidak hanya terhad kepada golongan tertentu saja.
B. Permainan golf dimainkan di atas padang yang cantik.
C. Permainan golf kian mendapat tempat di kalangan masyarakat dunia.
D. Permainan golf tidak memerlukan belanja yang besar.
  1. Yang berikut ialah kawasan-kawasan yang dibersihkan untuk membina padang golf, kecuali …………..
A. Kawasan tadahan hujan
B. Kawasan takungan air.
C. Kawasan yang berhampiran dengan empangan.
D. Kawasan bukit
  1. Yang manakah bukan kesan pembinaan padang golf?
    1. pokok-pokok ditebang dan kawasan hutan dibersihkan
    2. tanah di kawasan bukit akan terhakis lalu dihanyutkan ke laut
    3. hidupan laut dan terumbu karang semakin berkurang
    4. berlaku pencemaran alam sekitar
  1. Apakah pengajaran yang dapat diperoleh daripada perbualan antara Johari dengan abangnya?
    1. Kejohanan golf di negeri ini hendaklah dihadkan.
    2. Hak pembinaan padang golf perlu diberikan kepada pemaju yang tertentu saja.
    3. Orang ramai harus mementingkan keindahan alam sekitar daripada kepuasan diri sendiri.
    4. Pembinaan padang golf hendaklah mengutamakan keseimbangan alam.

UJI TIGA


Baca syair di bawah dan jawab soalan-soalan yang berikutnya.
Jalur gemilang bendera bertuah,
Rakyat Malaysia berasa megah,
Hidup bahagia tanpa resah,
Kerana kita merdeka sudah.
Jalur Gemilang lambing bersatu,
Merah, kuning, putih dan biru,
Bulan bintang menghiasi penjuru,
Empat belas negeri menjadi padu.
Di bangunan Parlimen tempat berkibaran,
Lambang demokrasi dan kemerdekaan,
Penuh daulat serta kebebasan,
Seiring dengan semangat perpaduan.
Putih dan merah suci berani,
Menyeru rakyat membangunkan negeri,
Menentang musuh yang penuh dengki,
Mempertahankan Negara setiap inci.
Pelbagai bangsa berlainan bahasa,
Jalur Gemilang menyatukan semua,
Teguh, bersatu, dan bekerjasama,
Tanda sepakat aman sentosa.
Jalur Gemilang kebanggaan kita,
Terkenal sudah ke seluruh dunia,
Hidup rakyatnya sejahtera senantiasa,
Sama-sama Berusaha memajukan Negara.
1 Bintang yang menghiasi penjuru Jalur Gemilang melambangkan………………
A. Dua belas negeri.
B. Tiga belas negeri.
C. Empat belas negeri
D. Lima belas negeri
2 Berdasarkan syair di atas, di manakah Jalur Gemilang sering dikibarkan?
    1. di bangunan Parlimen
    2. di gerai makan
    3. di perhentian bas
    4. di padang bola
3 Warna apakah yang melambangkan keberanian?
A. kuning
B. merah
C. biru
D. putih
4 Mengapakah rakyat Malaysia perlu bersatu padu dan bekerjasama?
a. supaya dipandang tinggi oleh masyarakat luar
b. supaya dipuji oleh pemimpin negara
c. supaya tidak ditindas oleh bangsa lain
d. supaya hidup aman dan sentosa
5 Apakah tajuk yang mungkin sekali sesuai untuk syair di atas?
e. Cintailah Negara Malaysia
f. Jalur Empat Belas
g. Benderaku Malaysia
h. Majulah Negaraku
Baca laporan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
Laporan Khemah Kerja Kejiranan Sekolah Taman Pantai Sepang Putra
Baru-baru ini, Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra telah mengadakan Khemah Kerja Kejiranan di Kampung Bagan Lalang. Khemah kerja selama dua hari itu disertai oleh 30 orang murid. Khemah kerja itu dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negeri Selangor dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.
Tujuan utama khemah kerja ini diadakan adalah untuk menanam sikap bekerjasama,sifat kepemimpinan, dan memupuk semangat setia kawan disamping melahirkan individu yang bertanggungjawab.
Sepanjang khemah kerja tersebut, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk ceramah, bengkel penghayatan diri, dan menghargai keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan.
Aktiviti yang paling menarik ialah penjelajahan di sekitar hutan rekreasi dan perbincangan dalam kelompok. Acara kemuncaknya pula diadakan pada malam terakhir Khemah Kerja Kejiranan. Pada malam tersebut, semua peserta berpeluang menunjukkan persembahan masing-masing.
Pada 29 Mei 2011, majlis penutupan Khemah Kerja Kejiranan berlangsung dengan jayanya. Setiap peserta yang menyertai khemah itu diberikan sijil penyertaan dan piala. Ternyatalah khemah kerja ini banyak memberikan faedah kepada peserta. Secara tidak langsung, aktiviti seperti ini dapat melahirkan generasi yang cergas dan berpandangan jauh.
Disediakan oleh, 2 JUN 2011
T.t
(ANGSOR BIN KARIMON)
Setiausaha Khemah Kerja Kejiranan
6 Siapakah penganjur utama Khemah Kerja Kejiranan?
a. murid Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra
b. setiausaha Khemah Kerja Kejiranan
c. Jabatan Perpaduan Negeri Selangor
d. Penduduk Kampung Bagan Lalang
7 Bilakah aktiviti Khemah Kerja Kejiranan ini diadakan?
a. 27 Mei 2011
b. 28 Mei 2011
c. 29 Mei 2011
d. 02 Jun 2011
8 Yang berikut ialah tujuan khemah kerja ini diadakan kecuali………..
a. memupuk semangat setia kawan
b. melahirkan individu yang bertanggungjawab
c. menanam sifat kepemimpinan
d. memahami peranan rakyat Malaysia
9 Rangkaian kata-kata berpandangan jauh bermaksud……………
a. Mempunyai kebolehan menjangka sesuatu yang akan datang.
b. Berkeupayaan untuk memandang
c. Mempunyai pengetahuan yang luas
d. Memberikan perhatian pada perkembangan jangka panjang
10 Yang manakah bukan faedah menyertai Khemah Kerja Kejiranan?
a. memutuskan tali silaturahim
b. dapat menikmati keindahan alam semula jadi
c. melahirkan generasi yang cerdas dan cergas
d. membina keyakinan diri